Bismillahirrahmanirrahim..

" Tidak beriman (sempurna iman) seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya apa yang ia kasihi untuk dirinya "

Hadis Riwayat Al-Bukhari, Kitab Al-Iman, No. 13

Sunday, October 5, 2014

Nikah Mut'ah , Mengikut Perspektif Ahli Sunnah Wal Jama'ah.


Cik Orkid ingat lagi, kucing ni pun ikut dengar kuliah masa kami mengaji kitab di Masjid Al-Mursyidin, UPSI bulan Jun lepas. Haiwan pun nak sertai majlis ilmu ^_^


Assalamualaikum wbt buat pembaca blog Cik Orkid yang tersayang.

Dah lama Cik Orkid tak menulis, kan ? Maklumlah, sekarang agak sibuk, dengan tugas baru~
Okaylah, dah lama Cik Orkid simpan artikel ini. Kali ini, Cik Orkid nak share dengan semua. Ilmu baru untuk yang baru tahu, dan untuk mengingatkan kita, apa itu nikah Mut'ah yang semakin galak mutakhir ini.

Moga bermanfaat, insyaAllah :)

Wallahu a'lam.

**********************************************************************************

Fiqh Munakahat : Ustaz Badli Shah Alauddin.
Solusi ke-55, Mei 2013, mukasurat 76-77.

Bernikah dengan niat talak bermaksud apabila seseorang bernikah, dia sudah berniat untuk menceraikan isterinya selepas tempoh tertentu pernikahan berlangsung.
Dalam kalangan para pelajar warga asing yang belajar di luar negara, ada yang melangsungkan pernikahan untuk satu tempoh tertentu, sebulan, setahun, atau sehingga selesai pengajian.
Inilah yang dipanggil sebagai nikah kontrak atau nikah mut’ah. Hukumnya adalah haram.

Hakikat Mut’ah.
Dari segi bahasa, perkataan mut’ah berasal daripada kalimat tamattu’ yang bermaksud ‘bersenang-lenang’ atau ‘menikmati’ . Menurut istilah, nikah mut’ah adalah bentuk perjanjian yang dibataskan oleh perjanjian waktu dan upah tertentu tanpa mengambil kira persoalan wali dan saksi.
Selepas tamat tempoh (kontrak) , maka berlakulah penceraian. Persoalan hukum penceraian dan warisan tidak timbul.

Nikah Mut’ah dan Zina
Menurut pandangan Ustaz Badli Shah Alauddin, konsep pernikahan sebegini amat mirip dengan zina. Tujuan perkahwinan adalah menghalalkan hubungan seks dengan jumlah mahar tertentu. Tempoh pernikahan pula berbeza-beza. Ada yang berlangsung selama setengah jam, sejam, sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya, bersesuaian dengan akad perjanjian antara kedua-dua belah pihak.
Al-Kulaini (ulama rujukan mazhab Syiah) menulis dalam Furu’ al-Kafi : “ Adakah dibolehkan nikah mut’ah sesat atau dua saat (iaitu ukuran waktu yang singkat) ?”
Beliau menjawab : “Bukan sesaat atau dua saat kiraannya. Perjanjian mut’ahnya adalah sekali, dua kali, atau sehari atau dua hari, semalam atau dua malam bersetubuh dan seterusnya.”
Mut’ah lebih memfokuskan persoalan seksual semata-mata. Manakala Ahli Sunnah Wal Jamaah memfokuskan pernikahan kepada penggabungan dua orang insan yang berusaha membangunkan ikatan atau simpulan keluarga yang kukuh.
Pernikahan dipenuhi sinar kedamaian, saling cinta saling berkasih sayang dan bukan hanya faktor nafsu semata-mata.
Dimanakah maruah dan kehormatan wanita jika nikah mut’ah diamalkan ?
Hukum nikah mut’ah menurut ulama Ahli Sunnah wal Jamaah , khusunya dalam empat mazhab; Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki adalah haram dan tidak sah.  Dasar pengambilan hukum ini boleh dirujuk menerusi pelbagai kitab antaranya al-Umm karangan Imam Syafie, Fatwa Syar’iyyah karangan Syeikh Hussain Muhammad Makhluf, Rahmah al-Ummah, I’anah al-Talibin dan al-Mizan al-Kubra.

Nikah Mut’ah vs Nikah Sunni
Dalam apa-apa jua keadaam atau pandangan yang diberikan pihak luar mengenai hal pernikahan, lakukan pertimbangan dan perbandingan mengikut pendapat ulama Ahli Sunnah wal Jamaah bagi nikah mut’ah dan nikah sunni.

Perbandingan antara Nikah Mut’ah dan Nikah sunni
Nikah Mut’ah
Perkara
Nikah Sunni
Dibatasi oleh waktu ( mengikut perjanjian )
Tempoh pernikahan
Tiada batasan waktu
Berakhir secara automatik setelah tamat waktu yang ditentukan dalam akad atau fasakh.
Cara pengakhiran
Berakhir dengan talak atau kematian.
Tidak boleh saling mewarisi harta antara suami dan isteri.
Pewarisan harta
Boleh mewarisi harta suami dan isteri
Tidak terbatas
Jumlah isteri yang boleh dnikahi
Maksimum empat orang
Boleh dilaksanakan tanpa wali dan saksi
Wali dan saksi
Mesti dilaksanakan dengan wali dan saksi
Suami tidak wajib memberikan nafkah kepada isteri
Nafkah
Suami wajib memberi nafkah kepada isteri



Penyelesaiannya
Sekiranya berlaku masalah ini :
1.   Rujuklah terlebih dahulu kepada pelajar senior di tempat pengajian atau berhubung terus dengan para pegawai di kedutaan Malaysia, pihak MARA, atau pihak Malaysia Hall. Terutamanya jika berhadapan dengan kekeliruan terhadap isu-isu berkaitan keagamaan apabila berada di perantauan.
2.   Jika ingin mengawal gejolak nafsu, sibukkan diri dengan melakukan aktiviti jasmani. Kawal juga pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi aphrodisiac (bahan yang berfungsi meningkatkan perasaan ghairah).
3.   Memperbanyakkan ibadah terutamanya berpuasa. Sabda Nabi SAW , mafhumnya : “Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu bernikah, maka dia hendaklah bernikah. Ia boleh menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana ia akan menjadi perisai bagi dirinya” . (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
4.   Jika ingin juga bernikah, lakukan secara terhormat dan bermaruah. Jangan bernikah dengan seseorang dengan niat untuk menceraikannya. Berkahwinlah dan jalanilah kehidupan sebagai suami isteri dengan penuh kasih sayang dan kesetiaan, selagi ada hayat.




Nikah Fasidah

Terdapat empat jenis nikah fasidah (tidak sah) yang disepakati oleh jumhur ulama Ahli Sunnah :


Nikah Sighar
- Tukar menukar anak perempuan atau adik beradik perempuan tanpa mahar


Nikah Mut’ah
- Nikah bertempoh sebagaimana yang dipersetujui dan disebut semasa akad , menikahi wanita yang dalam pinangan orang lain.

Nikah Muhallil
- Menikahi bekas isteri yang ditalak bain (sebelum dia bernikah lain)